Lagu berhantu seperti 'Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi (Ramlah Ram) Bila Rindu Ku Sebut Namamu (Siti Fairuz), Sampai Hati (Spring), Andainya Aku Pergi Dulu (Alleycats), Masih Aku Terasa (Gersang) , Meraung (New Boyz), Kad Ucapan (Norsheila Amin) dan banyak lagi antara cebisan karya Mama Juwie yang pastinya meninggalkan kenangan buat peminat muzik yang membesar dengan karya sentuhan Juwie, yang popular era 80-an hingga 90-an.
Lirik sentuhannya itu akan diabadikan sebagai lirik penuh makna walaupun kini kita di banjiri dengan pelbagai lirik baru, namun nama Mama Juwie akan tetap utuh dalam ingatan setiap warga muzik dan komposer tempatan. Mama Juwie atau nama sebenarnya, Abdul Jalil Saleh, 62, dilaporkan meninggal dunia semalam, Jumaat 3hb April 2015 sekitar jam 10.30 malam. Allahyarham yang menghidap pelbagai jenis penyakit termasuk kanser prostat, menghembuskan nafas terakhirnya di sisi keluarga. Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di sebelah pusara ibunya di Selayang, dekat sini pada Sabtu, 4hb April 2015.
Selain dari menulis beberapa buah lirik lagu, Juwie merupakan antara wartawan hiburan yang cukup terkenal. Segmen 'Auw Juwie! dan Salam Juwie' di Utusan Malaysia dan Berita Harian itu mencipta fenomena tersendiri dalam dunia kewartawanan. Kini, segala keringat dan bakti yang dicurahkan Juwie terhadap industri hiburan tempatan akan tetap diingati buat selama-lamanya. Pemergian Juwie, dirasai segenap lapisan warga hiburan. Sebelum bersara dalam dunia hiburan, Juwie khabarnya menjalani ilmu agama dan seringkali mendekatkan diri dengan pelbagai aktiviti keagamaan sehinggalah semalam kita dikhabarkan tentang kehilangannya.
p/s: tak silap saya, saya pernah membaca petikan novel Auw! Juwie semasa saya bersekolah.. Nyata pengalamannya dikongsikan dalam novel itu, yang kini entah dimana berada. Al Fatihah moga Mama Juwie ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan di sayangiNya.
Kredit Gambar : Arkib Negara blog, Utusan Malaysia