Quantcast
Channel: WAJIB TONTON
Viewing all articles
Browse latest Browse all 339

FILEM MALAYSIA KE PERSADA DUNIA?: PERIHAL LELAKI HARAPAN DUNIA ARAHAN LIEW SENG TAT

$
0
0

 
Satu perkara yang pasti di dalam tamadun manusia ialah:sejarah akan tetap berulang. Bagi mereka yang mempunyai agama, pastinya iniakan dilihat sebagai petunjuk daripada Yang Maha Esa untuk menjadi panduan agar boleh menilai diri sendiri.

George Santayana, seorang filasuf; novelis, mengatakan bahawa mereka yang tidak mengenang sejarah ditakdirkan untuk mengulangi kesilapan mereka. Aristotle, filasuf silam Yunani, menyebut bahawa sesuatu cerita menggambarkan bagaimana seorang manusia sepatutnya menjalani hidupnya. Maksudnya, setiap cerita, walaupun disampaikan dalam bentuk hiburan, sepatutnya membawa manfaat.

Budaya penceritaan berkembang dalam seni hiburan tanahair kita sendiri, bermula dengan penglipur lara silam, kemudian ke wayang kulit, mak yong, bangsawan ; sandiwara, sehingga ke filem di awal kurun ke-20.  Dan mulai tahun 1934, filem Melayu diusahakan tetapi oleh orang-orang bukan Melayu dari luar negara. Apakah yang boleh kita pelajari daripada sejarah itu dengan genapnya 80 tahun usia filem kita pada tahun 2014?



Slogan-slogan seperti ‘Filem Malaysia ke Persada Dunia’, ‘Malaysia Sebenarnya Asia’ &; ‘1Malaysia’ mengajak kita bersatu di samping meraikan pencapaian pelbagai etnik bangsa. Jarang-jarang dilaungkan bahawa segala konsep yang tersebut di atas sebenarnya sudah dipraktikkan oleh karyawan filem Malaysia dari dulu sehingga sekarang tanpa mengetuk gendang; mengibarkan bendera.

Industri filem kita bermula sebagai sinema Melayu dan menjadi rancak dengan gandingan pelbagai bangsa dan etnik dari luar dan dalam negara. Ada di antara filem-filem ini sudah pun ke persada dunia dan memenangi anugerah berprestij, termasuk beberapa filem dokumentari terbitan Malayan Film Unit (kemudian dinamakan Filem Negara Malaysia) yang dibeli oleh negara-negara luar.

Filem kontemporari Malaysia juga melihat ramai syarikat bukan Melayu seperti Berjaya Filem, Red Film dan Metrowealth yang berusaha menerbitkan filem-filem Melayu, yang sebahagiannya diarah oleh pengarah-pengarah bukan Melayu seperti Pansha, Bernard Chauly, Saw Teong Hin, M. Subash, James Lee dan  Santosh Kesavan.



Dalam tahun ini, beberapa filem membanggakan negara di segi cerita dan pelaksanaan. Antaranya: Hanyut (U-Wei Hajisaari), Vennira Iravugal (R. Prakas), Abang Long Fadil(Syafique Yusof), The Journey (Chiu Keng Guan), Amir dan Loqman Pergi ke Laut (Mamat Khalid)  dan yang terbaru, Lelaki Harapan Dunia (Liew Seng Tat). U-Wei, Mamat dan Chiu sudah pun mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Hanyut kini ditayang di seluruh Indonesia dan The Journey sudah menjelajahi beberapa negara.
Lelaki Harapan Dunia (LHD) dipilih untuk tayangan di banyak festival filem berprestij.

LHD merupakan satu kesinambungan sejarah awal filem Malaysia, iaitu, sebuah filem Melayu, karya seorang bukan Melayu dan  dengan bantuan dana serta sokongan dari luar negara. Seng Tat juga menggunakan pelakon-pelakon Melayu, milieu, subjek dan isu yang dekat dengan hati orang-orang Melayu.

Cerita-cerita filem Malaysia awal diinspirasi atau diceduk dari beberapa karya hebat dari luar negara. Tetapi hari ini, karyawan filem kita melahirkan idea-idea sendiri. Namun, khidmat nasihat orang-orang luar negara untuk memperbaiki skrip dilakukan (seperti untuk skrip awal filem Susuk arahan Amir Muhammad dan Naeim Ghalili).



Liew Seng Tat adalah orang baru dalam gelanggang filem. Maka,dia mengambil masa 2 tahun untuk membangunkan cerita LHD, termasuklah mendapatkan khidmat nasihat pakar di festival filem tersohor seperti Sundance agar skripnya menjadi sesuatu yang boleh bersaing dengan filem-filem dari seluruh dunia.

Filem yang baik adalah filem yang menghiburkan, yang memberikan gambaran budaya hidup sesuatu bangsa dan negara. Lebih penting, ia mesti memperkatakan sesuatu yang berlaku di zaman karya itu dilahirkan, yang menyentuh hati dan akal fikir karyawan itu dan disampaikan dengan penuh hemah dan; secara tersirat.

Naskah Seng Tat boleh dilihat sebagai satu ajakan untuk melihat diri kita pada watak-watak dan isu yang semestinya ada kaitan dengan keadaan sosio-politik negara. Ini jelas daripada plane of events (yang tersurat) dalam LHD melalui adegan-adegan yang melibatkan ketua kampong, ahli politik, penguat kuasa, mat rempit, dsbnya.



LHD bukan satira politik. Jika dilihat pada plane of discourse (yang tersirat), ia sebenarnya tentang industri filem Malaysia – satu subjek yang menjadi kegemaran beberapa karyawan filem (terutamanya Mamat Khalid). Petunjuk awal berada pada tajuk filem. ‘Lelaki Harapan Dunia’ merujuk kepada sesuatu yang mahu diangkat ke tahap yang lebih tinggi, yang diiktiraf dunia (hasrat Kerajaan yang masih tidak tercapai).

Rumah yang diusung oleh orang-orang kampong adalah sesuatu yang simbolik. Ramai yang terlibat di dalam industri, namun kini sudah menjadi usang kerana ‘dirasuk’ oleh kisah hantu dan jembalang dan dicemari samseng dan mat rempit. Jika ini berterusan, diibaratkan membakar rumah sendiri (lihat adegan akhir filem LHD di mana ini berlaku). Maksudnya, memusnahkan sinema Malaysia. Dan generasi baru karyawan filem yang berwibawa akan menjadi seperti orang Afrika di dalam LHD – tidak ubah seperti pendatang haram dan tidak tahu apakah masa depannya.

Dalam filem Wayang, Hatta Azad Khan menampilkan watak seorang yang kononnya alim. Ia membakar bangsal wayang kulit kerana mendakwa patung wayang kulit itu khurafat. Watak orang alim ini merujuk kepada seorang karyawan filem yang menganggap dirinya bijak, yang menolak karya bersifat seni dan  membawa ‘fatwa’ dia sendiri, ia itu, filem mesti membawa keuntungan. Walhal dia inilah yang ‘memusnahkan’ industri dengan lambakan karya yang lemah dan yang mencemar imej dan budaya bangsa.   



Seperti Mamat Khalid dan beberapa karyawan yang lain, Seng Tat sayangkan industri yang diceburinya. Dalam Lelaki Harapan Dunia, Seng Tat mengutarakan soalan: apakah kita tidak sedar bahawa kita sendiri yang menyebabkan industri kita menjadi daif? Jika tidak dapat mengangkat martabat filem kita di negara sendiri, bagaimanakah mahu melangkah ke persada dunia? 

Liew Seng Tat tidak ada jawapan. Dia hanya seorang tukang cerita yang menyampaikan renungannya. Apakah usahanya dan jugrakan-rakan seangkatan dengannya untuk membawa filem Malaysia ke persada dunia akan diiktiraf oleh negara sendiri? Atau apakah sejarah akan berulang dan mereka akan dijulang dan diperkatakan hanya selepas mereka sudah tiada?



Lelaki Harapan Dunia kini ditayangkan di pawagam di seluruh Malaysia.
oleh: Hassan Abdul Muttalib 


 SLIDE 1: Budaya & milieu Melayu diketengahkan.
 

SLIDE 2: Filem Malaysia kini dilanda cerita tahyol, bomoh & kepercayaan zaman silam. Dikaitkan dengan cerita hantu & jembalang yang tiada penyelidikan, yang hanya diceduk dari sumber yang tidak sah.




SLIDE 3: Realiti isu dadah & manusia gay dibuat dengan begitu berhemah tanpa menyentuh sensitiviti ugama & budaya
 

Viewing all articles
Browse latest Browse all 339

Trending Articles